Pengalaman Penempatan Pertama (bahagian 2)

Kami menginap di surau asrama SMK tersebut. Hampir seminggu aku di sana. Baru kena ambil oleh Guru Besar. Dalam tempoh hampir seminggu itulah macam-macam perkara berlaku. Semasa mula-mula sampai di asrama itu, kami dijamu nasi tapau dalam bekas polisterin yang bewarna putih…tapi ada kajian mengatakan bekas tapau polisterin bahaya. Boleh sebabkan kanser. Apa boleh buat, itu ja yang ada. Belasah ja lah. Seingat aku hanya dua atau tiga kali kami dihantar bekalan makanan tapau. Lepas tu dah tak ada. Kena cari sendiri.

Bab yang cari makan sendiri ni ada cerita lawak dia.Cuba anda bayangkan. Di sekitar sekolah kami menginap tiada kedai makan. Mahu ke pekan terdekat pun jaraknya lebih kurang 2 batu. Tetapi, nasib baik ada seorang ustaz beri kami pinjam motor dia. Ustaz Z namanya . Dia pun dari semenanjung jugak. Baik dan perihatin orangnya. Dari kelate.  Dia bagi pinjam motor saja, topi keledar tiada. Kami pakai serban atau songkok naik motor ulang alik ke pekan Kinabatangan…Sebelum sampai pekan kena “limpas”(lalu) balai polis. Seriau juga takut kena saman. Dalam kami bersusah payah cari makan, ustaz Z mempelawa kami makan malam di rumahnya . Kami pergi secara bergilir. Malam ni satu kumpulan, besok malam satu kumpulan.

Pada malam yang pertama, kumpulan pertama pergi rumah ustaz Z. Aku tinggal di asrama bersama kumpulan kedua. Kami pun terpikir:” diaorang sedap-sedap makan, kita malam ni nak makan kat mana”. Ada satu orang kawanku cadang bagus kita minta ihsan kantin asrama. Kami setuju sebulat suara. Pepatah ada mengatakan:”Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Apabila tiba di Kantin Asrama, ada seorang kawan kami menjadi wakil untuk bermadah dengan pekerja kantin: “Adik, ada makanan ka? Kami ditinggalkan di sini, namun tiada siapa pedulikan kami.” Ayat kawanku itu memang “power” dan lawak giler sampai pekerja kantin itu tersenyum macam mau ketawa sudah. Selang beberapa minit pekerja tersebut membawa makanan. Lega rasanya, kenyang juga kami pada malam tu.

Pada keesokan hari pula, tiba giliran kumpulan kami pula dipelawa oleh ustaz Z ke rumahnya. Bagi kumpulan pertama tadi mereka menggunakan taktik kumpulan kami. Iaitu dengan meminta ihsan kantin. Mereka juga berjaya.

Sebenarnya isu makan ini merupakan isu yang paling penting. Di mana-mana pun orang kecoh pasal makanan tak cukup, makanan tak sedap, makanan mahal dan banyak lagi pasal makan. Isu inilah yang banyak menyajikan cerita-cerita lawak semasa kami diperantauan ini. Bagi hari-hari berikutnya kami mula mencari makan sendiri berbekalkan motorsikal yang dipinjamkan oleh ustaz Z. Seorang akan menjadi” driver”. Kawan-kawan yang lain akan jadi pembonceng yang akan diangkut secara bergilir ulang-alik ke pekan Kinabatangan untuk cari makan. Kadang-kadang kami semua berjalan kaki sejauh 2 batu ke Pekan Kinabatangan untuk makan.

Pada suatu hari semasa kami berjalan kaki pulang dari pekan menuju ke asrama, kami singgah di pos pengawal Balai Polis Kinabatangan. Saja ja…untuk berkenalan dengan polis kat situ dan mengisi masa lapang . Ada lah satu orang polis yang sedang mengawal di pos tu. Dia pun orang semenanjung juga. Kami bercerita pasal sekolah masing-masing yang belum pernah kami pergi. Macam-macam diceritakan oleh polis itu. Ada satu cerita pasal sekolah kawanku yang agak lawak. Sekolahnya di SK Tundun Bohangin. Apabila ditanya pasal sekolah ini, pelbagai jawapan diperolehi mengikut orang yang ditanya. Ada orang kata jauh perjalanannya dari Kinabatangan adalah satu hari dan kena naik kapal nelayan. Yang lain pula cakap 2 hari baru sampai. Ada pula yang cakap 3 jam sahaja naik bot dari Sandakan. Kami pening mana satu yang betul ni???……Rupa-rupanya semua jawapan itu betul…..UNTUK MENGETAHUI BETULNYA JAWAPAN ITU..ANDA PERLU MENGIKUTI KISAH INI SAMPAI HABIS…..BERSAMBUNG.